27 May 2009

YA atau TIDAK



Dalam kehidupan kita sehari-hari, kita mempertimbangkan sesuatu perkara sebagai benar (YA) atau sebaliknya (TIDAK) berdasarkan pengalaman sedia ada. Kelaziman ini akan menyekat kita daripada berfikir lebih lanjut untuk mendapatkan idea-idea baru.

Dengan memperkenalkan satu konsep baru iaitu ‘PO’, kita dapat melangkaui kebiasaan iaitu membuat pertimbangan atau keputusan dengan cepat ke atas sesuatu perkara. Dengan menggunakan pernyataan ‘PO’ semasa berfikir, memberikan kefahaman kepada orang lain bahawa kita bersedia untuk memikirkan sesuatu perkara dengan lebih lanjut.

Lakaran yang dipamerkan di atas menunjukkan ‘YES’ dan ‘NO’ sebagai kotak yang stabil. ‘PO’ berada dalam sebuah bulatan yang menggambarkan kreativiti, iaitu berkenaan dengan ‘pergerakan’ bukannya ‘kestabilan’. Pernyataan ‘PO’ terbit daripada “poetry”, “suppose” dan “hypotesis”.

Sesuatu perkara atau idea yang luar biasa, tentunya tidak dapat diterima oleh pemikiran kita tetapi kita tidak menolak idea itu sepenuhnya, Sebaliknya kita bolehlah melihat idea itu secara kreatif sebelum membuat sesuatu keputusan untuk menerima atau menolak idea itu. Melalui konsep ‘PO’, sesuatu idea yang luar biasa itu dijadikan sebagai batu loncatan untuk merangsang kita berfikir sehingga suatu idea baru yang lebih baik dapat dicetuskan daripada idea asal yang luar biasa itu.

Perkara penting yang haruskan ditekankan ialah ‘PO’ digunakan dengan sengaja untuk menunjukkan seseorang itu melakukan operasi di luar sistem pertimbangannya yang biasa sepertimana yang berlaku dalam jenaka, puisi dan hipotesis.


Contoh A : Satu masalah yang kerap melanda negara kita ialah masalah jerebu yang berpunca daripada kebakaran hutan di negara jiran.

Provokasi untuk situasi ini ialah:
PO – Negara yang terlibat dengan kebakaran hutan mesti menyekat pergerakan asap dari merentasi ruang udara negara jirannya.

Jika diamati, pernyataan ini tidak logik tetapi jika difikirkan dengan lebih lanjut dan mendalam, idea ini dapat mencetuskan beberapa idea yang berupaya menyelesaikan masalah ini. Daripada provokasi ini, kita boleh mencadangkan idea tentang penciptaan teknologi yang dapat mengubah arah angin ataupun mencipta bahan semburan yang akan menyebabkan asap terlalu berat untuk bergerak.

Petikan dari KEMAHIRAN BERFIKIR

0 comments:

Post a Comment